Memaparkan catatan dengan label tazkirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tazkirah. Papar semua catatan

Selasa, 21 Februari 2012

** Jagalah hati....**



Saya sering mengingatkan diri, usaha kita mengingatkan orang lain adalah juga usaha kita untuk memperbaiki diri sendiri. Dijauhkan Allah dari bersifat hipokrit. Walaupun kekadang apa yang diingatkan untuk orang lain, terlupa kita padankan pada diri sendiri. Saya, anda dan kita semua hanya INGIN jadi baik, belum benar-benar jadi baik. Kita insan yang sedang bermujahadah.

Redha Allah terletak pada redha ibu-bapa. Semua orang pernah mendengar ungkapan ini. Namun, berapa kerat yang memahami tuntutannya? Dan berapa kerat pula yang telah menunaikan tuntutannya? Ibu-bapa yang telah tua memang menguji anak-anak. Maklumlah, akalnya sudah lemah, pertimbangannya jadi singkat. Kerenah orang tua sangat menguji anak-anak.

Berapa ramai yang menganggap ibu-bapa yang telah tua sebagai satu liabiliti dalam kehidupan kita. Pada hal mereka sebenarnya adalah satu aset yang sangat berharga dalam kehidupan kita. Menjaga ibu-bapa yang telah tua, bersabar dalam menghadapi kerenahnya sesungguhnya akan membuka pintu kerahmatan dan keberkatan daripada Allah swt.  

Ingatkah lagi kita tentang satu hadis panjang yang menceritakan kepada kita bagaimana tiga orang lelaki terperangkap dalam sebuah gua? Masing-masing memohon pertolongan daripada Allah melalui perantaraan (tawassul) amalan mereka. Salah seorang lelaki tersebut telah memohon kepada Allah melalui perantaraan amalannya yang berbakti kepada orang tua… dan pintu gua itu tergeser, petanda bantuan Allah tiba kerana amalannya terhadap orang tua.

Mengapa tidak kini kita gunakan kaedah yang sama? Bukankah banyak permasalahan dan beban hidup yang berat sedang atau akan kita tanggung? Salah satu kaedah untuk mengatasi dan menangani masalah tersebut ialah dengan berbakti kepada orang tua dan menjadikan kebaktian tersebut sebagai perantaraan berdoa kepada Allah. Dengan syarat kita berbuat demikian dengan hati yang ikhlas.

Berapa ramai penulis yang “terbantut” idea dan mindanya, lalu dia mengangkat tangan berdoa kepada Allah melalui perantaraan ketaatannya kepada ibu-bapanya? Atau ahli perniagaan yang dilanda masalah hutang atau merudumnya jualan, lalu istirahat seketika lantas berdoa meminta bantuan Allah melalui budi-baiknya terhadap ibu-bapa? Atau ahli politik yang diserang kiri dan kanan oleh musuh politiknya, mengambil sedikit masa untuk bermunajat kepada Allah melalui amalan baik terhadap kedua ibu-bapanya?

Ingatlah, ibu-bapa yang tua itu adalah satu aset. Kesusahan, kejemuan dan kebimbangan kita sewaktu menjaga mereka sebenarnya adalah mahar kepada sebuah ketenangan, keberkatan dan kejayaan dalam kehidupan. Namun sebaliknya, jika mengabaikan mereka itulah yang akan membuka kepada pintu kehancuran, keresahan dan kegagalan. Benar seperti yang pernah didendangkan oleh lagu lama, “ayah dan ibu wali-wali keramat.”

Ibu-bapa memang “wali keramat” kerana meminggirkan mereka (apatah lagi kalau sampai ke tahap menderhakai mereka) akan menyebabkan hidup kita terhijab (terhalang). Bukan sahaja kita orang awam ini, bahkan orang-orang Soleh sekalipun jika tersalah laku dengan ibu-bapa akan menerima padahnya. Lupakah kita kepada Juraij, seorang yang amat soleh (rajin uzlah dan beribadah) tetapi tertimpa malapetaka fitnah kerana tidak disenangi oleh ibunya.

Gara-gara begitu asyik dengan solat sunat, Juraij tidak menyahut panggilan ibunya. Ibunya sungguh terasa hati menyebabkan dia berdoa agar Juraij ditimpa fitnah. Benar, tidak lama kemudian Juraij difitnah berzina dengan perempuan jahat menyebabkan dia dihina dan disakiti oleh penduduk-penduduk setempat. Itulah bahananya mengecilkan hati ibu. Justeru, dari segi hukumnya, ajaran Islam menetapkan seseorang yang sedang bersembahyang sunat wajib menyahut panggilan ibunya setelah tiga kali panggilan itu diulang. Kenapa? Padahal solat itu hubungan dengan Allah, sedangkan menyahut panggilan ibu bapa itu hubungan sesama manusia? Apakah hak manusia lebih besar daripada hak Allah?

Tidak, bukan begitu. Sebenarnya itu didikan daripada Allah jua, agar seorang anak menjaga hubungan dengan ibu-bapanya semasa berhubung dengan Allah. Taat kepada Allah dan berbuat baik kepada kedua ibu-bapa ada kalanya dirangkaikan dalam ayat-ayat tertentu dalam Al Quran. Ya, jangan sampai mengejar cinta Allah, dengan mengabaikan cinta terhadap ibu-bapa. Yang setepatnya ialah cintailah ibu-bapa kerana mencari cinta Allah!

Bayangkan jika manusia sesoleh Juraij pun boleh ditimpa kesusahan kerana kesalahan yang boleh dikatakan kecil (berbanding kederhakaan anak-anak zaman ini) terhadap ibunya, apalagi kita. Kebaikan kita tidaklah setinggi dan sebanyak Juraij, sebaliknya kesalahan kita terhadap ibu-bapa kita lebih banyak daripadanya… Bila-bila sahaja kita boleh ditimpa malapetaka akibat kederhakaan ini. Dan mungkin kita tidak sedar, malapetaka itu telah pun menimpa kita.


Intai-intai dan telitilah kembali jalan hidup yang telah, sedang dan akan kita susuri ini. Berapa banyak halangan dan hambatan yang datang melanda. Berapa banyak kali kita kecundang? Apa yang dirancang kekadang sering tidak “menjadi”. Malang dan bencana datang timpa menimpa. Dicari sebabnya, dikaji puncanya, seakan-akan tidak terjumpa… mana tahu semuanya bahana derhaka kepada kedua ibu-bapa.

Dosa kita pada yang lain masih adalah istilah nanti dan tunggu. Tetapi dosa kepada ibu-bapa akan dibalas segera dan tiba-tiba. Sesetengah orang, hanya kerana dia telah menghulurkan bantuan ratusan malah ribuan ringgit sebulan kepada ibu-bapanya, dia telah menunaikan tanggungjawab… Jadi apabila ibu-bapanya “bersuara” sedikit, sudah berani dia membentak. Apa yang tidak cukup lagi? Apa lagi yang ibu hendak? Apa lagi yang bapa tidak puas hati?

Ingatlah, wang ringgit dan harta benda tidak akan mampu membalas jasa atau menebus bakti kedua orang tua kita. Bukan semua perkara dalam kehidupan ini boleh dibeli. Banyak perkara-perkara penting dalam hidup ini tidak boleh dinilai oleh kuantiti material dan fizikal yang kita ada. Antaranya, jasa dan bakti kedua ibu-bapa. Ia hanya boleh “dibayar” oleh kualiti jiwa bukan kuantiti harta.

Maksudnya, budi hanya dapat dibayar oleh budi. Jasa dengan jasa. Budi baik dan akhlak kita yang cantik sahaja dapat menyenangkan hati orang tua pada usia senja mereka. Layani mereka dengan baik, dengarlah cerita mereka (walaupun telah diulang berkali-kali), duduk berbual dengan mereka, membelai atau mengurut badan mereka dan yang paling penting sering menziarahi dan sentiasa berdoa untuk mereka.

Jangan lupa, satu hari kita juga akan melalui apa yang sedang lalui kini. Kita akan mencecah gerbang tua dan mengecap sisa-sisa umur dengan payah dan lelah seperti mereka… bagaimana kita saat itu? Tentukanlah nasib kita itu pada hari ini. Bagaimana? Taat, layan dan belai dengan penuh kasih sayang orang tua kita pada hari ini, insya-Allah anak-anak kita akan mengamalkan sikap yang sama terhadap kita pada akhir nanti.

Cerita dan nasihat ini bukan pertama kali kita dengar… tetapi semuanya diulang lagi kerana kita sering mengabaikan apa yang sering kita dengar. Kita sering menjadi umpama kelekatu yang melanggar lampu yang bercahaya sedangkan di bawahnya sudah begitu banyak kelekatu lain yang terkorban. Berapa banyak ikon anak derhaka dalam cerita rakyat seperti Sitanggang mahupun Malim Kundang yang kita benci dan caci, ironinya kita menjejak mereka tanpa kita sedari.

Sudah dianggap derhaka dengan mendecit perkataan “ah” kepada kedua ibu-bapa. Sudah dianggap melupakan mereka jika kita tidak mendoakan mereka selepas setiap kali mengerjakan solat. Sudah mengecilkan hati mereka jika sudah lama kita tidak menelefon ataupun menziarahi mereka di kampung… Oh, terlalu banyak kesalahan kita terhadap mereka. Dan apakah ini telah menyebabkan tertutupnya pintu kerahmatan dan keberkatan?

Rezeki banyak, tetapi tidak puas. Umur panjang, tetapi dipenuhi dosa. Masa lapang, tetapi hilang manfaat. Kesibukan yang memanjang, keresahan yang tidak berpenghujung mungkin sedang berlaku dalam hidup kita. Anak-anak degil. Isteri atau suami semakin degil dan tidak serasi… Apakah ini semua kerana dosa kita terhadap orang tua? Apakah Allah sedang murkakan kita?

Jika masih ada pertanyaan begitu, sila ulang baca ayat pertama pada awal tulisan ini!
Jagalah Hati....
sumber :http://syedroslanjaafar.blogspot.com/

Isnin, 16 Januari 2012

Berlindung Dari Malapetaka


Daripada Ubai bin Kaab r.a. katanya: Adalah Rasulullah s.a.w. apabila sampai 1/3 malam baginda pun bangun lalu bersabda, "Wahai sekalian manusia ingatlah kamu semua kepada Allah, telah datang goncangan yang pertama (gegaran/tiupan pertama) yang diikuti dengan peristiwa yang amat dahsyat (golombang/tiupan kedua) telah datang maut dengan bermacam-macam kesengsaraan, telah datang mati dengan bermacam-macam bentuk kesusahan (ketika datangnya sakaratul maut)."

Aku berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya aku akan memperbanyakkan selawat ke atasmu, maka sebanyak manakah yang aku perlu berselawat ke atasmu?" Baginda menjawab’ "Seberapa yang banyak kamu kehendaki". Aku bertanya lagi, 1/4? Beliau menjawab, seberapa banyak yang kamu kehendaki maka jika kamu tambah ianya menjadi kebajikan (selamat) kepada kamu. Aku bertanya lagi, “Bagaimana jika separuh?” beliau menjawab, “Seberapa banyak yang kamu kehendaki, maka jika kamu tambah menjadi kebajikan kepada kamu”. Aku bertanya lagi, “Bagaimana jika 2/3?” Baginda menjawab "seberapa banyak yang kamu kehendaki, maka jika kamu tambah ianya menjadi kebajikan kepada kamu”. Aku bertanya lagi, “bagaimana jika aku jadikan sepenuhnya untuk berselawat kepada mu?” Baginda menjawab, “Oleh yang demikian segala kehendakmu akan dipenuhi dan diampuni segala dosamu”.(Hassan)

Huraian

1. Rasulullah mengingatkan umatnya agar sentiasa mengingati Allah sepanjang masa dan mengingati mati kerana kematian adalah seumpama kiamat kecil bagi setiap manusia yang hidup. Bahkan kematian akan datang pada bila-bila masa dalam berbagai bentuk termasuk dengan berlakunya sesuatu bencana.

2. Mala petaka yang datang seperti gempa bumi, ombak besar (tsunami), tiupan angin yang kuat (puting beliung) dan sebagainya adalah ujian yang ditentukan oleh Allah S.W.T. bagi menguji sejauh mana keimanan dan kesabaran setiap hamba-Nya.

3. Oleh itu umat manusia khususnya umat Islam hendaklah sentiasa beringat (jangan lalai dan alpa) dan sentiasa berzikir menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya di samping berselawat ke atas baginda Rasulullah saw. sepanjang masa dan berdoa agar dijauhi dari segala mara bahaya dan bencana yang menimpa.

4. Orang yang banyak berselawat adalah orang yang paling rapat dengan baginda di akhirat kelak di mana segala permohonan dan kehendaknya akan diperkenankan oleh Allah S.W.T di samping itu segala dosanya akan diampunkan dan sentiasa mendapat perlindungan dari-Nya.

5. Sesungguhnya arahan Rasulullah saw. supaya umatnya memperbanyakkan selawat adalah juga disertai dengan suruhan agar kita tidak meninggalkan perintah agama serta menjauhi segala larangannya.
##saya ambil artikel ni dari FB Dunia Macam - macam##

Isnin, 28 November 2011

Keajaiban Sedekah : Majalah i Okt 2011


Saya teringat beberapa bulan yang lepas apabila seorang rakan menceritakan pengalamannya. Ketika itu anaknya yang berumur tiga tahun lebih sudah beberapa bulan menghadapi satu penyakit yang tidak dapat dikesan oleh doktor-doktor pakar. Pelbagai ujian telah dilakukan, beberapa hospital pakar telah dikunjungi, namun tetap tiada diagnosis yang tepat. 
sedekah.jpg
Rakan saya juga telah meminta nasihat beberapa ustaz yang dikenalinya dan mereka mengajarnya beberapa zikir yang pernah secara sahih diamalkan oleh Rasulullah ke atas dirinya dan para sahabat. Mereka juga berjanji akan turut mendoakan kesembuhan anaknya itu.
Di antara ustaz-ustaz tersebut, yang terakhir yang ditemui oleh rakan saya memberikan nasihat yang agak berbeza. Beliau menasihatkan: “Akhi, perbanyakkanlah sedekah. Bersedekahlah kerana Allah dan salah satu ganjaran yang mungkin Allah kurniakan ialah kesembuhan.” Pada awalnya nasihat ini terasa aneh. Namun disebabkan tiada alternatif lain yang berbaki, rakan saya memperbanyakkan sedekahnya di atas apa yang sedia diberikan sebelum ini.
Dengan izin Allah yang Maha Penyembuh, beberapa hari selepas itu anaknya mula menampakkan tanda-tanda kesembuhan. Seminggu selepas itu, anaknya sembuh sepenuhnya dan sudah bermain-main aktif seperti biasa.
 
Aneh Tetapi Benar.
Ketika saya mendengar pengalaman di atas, saya sendiri terasa agak musykil. “Apa pula kaitan sedekah dengan kesihatan atau kesembuhan daripada penyakit?”…bisik hati saya tatkala itu. Namun saya mendiamkannya sambil memberi motivasi kepada rakan tersebut dan diri saya sendiri untuk memperbanyakkan sedekah secara ikhlas kepada Allah. Kurniaan Allah itu amat luas dan Dia mengurniakan apa yang Dia kehendaki kepada sesiapa yang Dia kehendaki. 
Setelah itu pengalaman tersebut tersimpan jauh di dalam hard disk kepala saya sehinggalah baru-baru ini ketika saya sedang membaca buku Sedekah Sebagai Bukti Keimanan Dan Penghapus Dosa oleh Ustaz Yazid bin Abdul Qadir Jawas, seorang tokoh Ahlu Sunnah dari Indonesia. Salah sebuah hadis yang beliau kemukakan bagi menerangkan keutamaan bersedekah ialah sabda Rasulullah yang bermaksud: Ubatilah orang sakit di kalangan kalian dengan bersedekah. [Riwayat Abu Syaikh, Shahih al-Targhib wa al-Tarhib, no: 744]
Tatkala membaca hadis ini, saya segera teringat kisah rakan saya di atas dan mengangguk-angguk menerimanya. Alhamdulillah, sebuah lagi ilmu yang dapat saya pelajari secara teori dan melihatnya diamalkan secara praktikal.
Menyebut tentang keajaiban sedekah, ia bukan sahaja merupakan salah satu sarana ke arah kesihatan dan kesembuhan, tetapi juga ke arah hidup yang aman daripada musibah dan malapetaka. Ini merujuk kepada sebuah hadis yang panjang berkenaan Nabi Yahya bin Zakariya. Beliau diperintahkan oleh Allah untuk menyampaikan lima perkara, salah satunya darinya berkenaan sedekah. Beliau bersabda:
Dan Allah memerintahkan kalian untuk bersedekah. Sesungguhnya perumpamaan sedekah adalah seperti seseorang yang ditawan oleh musuh. Musuh itu mengikat tangannya sehingga ke leher dan mereka membawanya untuk dipenggal lehernya. Maka (sedekah) itu berkata: “Aku penebus (bagi)nya daripada kamu semua, baik sedekah yang sedikit atau banyak.” Maka sedekah itu menebus jiwanya (orang yang ditawan itu) daripada mereka. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2863]
Demikian satu perumpamaan bagaimana amal sedekah dapat membebaskan orang yang lazim bersedekah dari malapetaka dibunuh oleh musuh.
 
Waktu Sedekah Yang Terbaik.
Agaknya dalam keadaan harga minyak, makanan dan barangan asasi yang semakin mahal, bersedekah bukanlah satu kecenderungan sebahagian kita. Apatah lagi dalam suasana rakan-rakan di bangku pengajian tinggi atau sepejabat telah naik taraf ke kereta yang lebih canggih, rumah yang lebih luas dan talifon bimbit yang lebih pintar, kita juga ingin mengumpul duit dan sangat berkira apabila bercakap tentang sedekah.
Sebenarnya sedekah adalah satu bentuk pelaburan. Apabila kita bersedekah, Allah akan melipat gandakan kurniaan-Nya kepada kita hingga apa yang sebelum ini tidak cukup menjadi cukup dan apa yang sebelum ini cukup menjadi lebihan. Apa yang penting ialah kita bersedekah secara ikhlas kepada Allah dan beriman akan pulangannya daripada Allah. Bukankah perkataan sedekah itu sendiri berasal daripada perkataan “shidq” yang bererti bukti kebenaran iman seseorang kepada Allah bahawa apa jua harta yang dikeluarkan di jalan-Nya pasti akan memperoleh ganjaran daripada-Nya.
Merujuk kepada masa sedekah, maka sekarang ini adalah masa paling sesuai untuk bersedekah berdasarkan hadis berikut: Seorang lelaki mendatangi Rasulullah dan bertanya: “Wahai Rasulullah, sedekah yang bagaimanakah yang paling agung?” Maka baginda menjawab: “Kamu bersedekah saat sehat, kikir, takut miskin dan kamu berangan-angan untuk menjadi hartawan yang kaya raya. Dan janganlah kamu lalai hingga nyawamu sampai di tenggorok dan barulah kamu bahagi-bahagikan sedekahmu, ini untuk si Fulan dan ini untuk Fulan. Dan ingatlah (pada saat di hujung nyawa seperti itu), harta memang untuk si Fulan (yakni akan diwarisinya).” [Shahih Muslim, no: 1713]
sumber : http://hafizfirdaus.com/

Fesyen Muslimah : Trend & Hukum

 

Wajib Tonton......................................

Rabu, 24 Ogos 2011

7 Sunnah penting...........

Dalam kehidupan sehari-hari ada kala kita mungkin telah melampaui batas. Imaginasi kotor, percakapan dan perbuatan yang tidak betul menjadikan kita selalunya semakin jauh dengan Allah. Tetapi itulah kita manusia, tak lari dari kesilapan..dan mujurlah Allah selalu membuka pintu taubat kepada kita, agar dapat kita meneruskan perjalanan menuju akhirat dengan lebih berkat. Hendaknya kita selalu menjaga tujuh sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh sunnah Nabi SAW itu adalah:
 
Pertama:
Tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya. Pastinya doa mudah termakbul dan menjadikan kita semakin hampir dengan Allah.
 
Kedua:  
Membaca Al-Qur'an sebelum terbit matahari, alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman. Paling tidak jika sesibuk manapun kita, bacalah ayat 3Qul, atau ayat qursi.
 
Ketiga:
Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu subuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke mesjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.
 
Keempat:
Jaga sholat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha. Yakinlah, kesan solat dhuha sangat dasyat dalam mendatangkan rezeki.
 
Kelima:
Jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari. Percayalah, sedekah yang diberikan akan dibalas oleh Allah berlipat kali ganda.
 
Keenam:
Jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".
 
Ketujuh: 

Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.
 
Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya. Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme.
 
Sebarkanlah ilmu ini, dan anda tidak akan rugi sedikitpun, sebarkan, semoga ianya memberi manfaat pada semua 

Isnin, 11 Julai 2011

::Faedah menundukkan pandangan::

Menundukkan pandangan mempunyai banyak sekali faedahnya, antaranya ialah:

1) Menunjukkan tanda bahawa seseorang itu tunduk kepada Allah s.w.t. dan merupakan puncak kebahagiaan seseorang hamba di dunia dan di akhirat.

2) Dapat menangkis serangan anak-anak panah iblis yang sangat panas lagi beracun, yang mana boleh menyebabkan kehancuran.

3) Dapat menghiasi hati dengan sinaran cahaya, melenyapkan kegelapan yang terdapat pada wajah dan anggota badan.

4) Membersihkan hati dari akibat sedih.Orang yang tidak mahu menundukkan pandangannya maka akan kekallah ia dalam kesusahan.

5) Mewariskan firasat yang sihat dan benar yang dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk.

6) Membuka pintu pengetahuan, iman dan makrifat kepada Allah s.w.t. serta hukum-hakamnya.

7) Menundukkan pandangan dapat mewariskan keteguhan dan keberanian.

8) Mewariskan hati dengan kesenangan dan kebahagiaan yang sangat indah.

9) Dapat menyucikan hati dan syahwat yang tersembunyi, maka itulah yang dikatakan tawanan hawa nafsu.

10) Dapat membebaskan hati dah fikiran yang selalu merumitkan, sedangkan bagi mereka yang tidak mahu menundukkan pandangan, fikiran mereka akan hanyut dengan angan-angan yang tinggi.

11) Menguatkan dan meningkatkan daya fikiran.Sedangkan mereka yang tidak mahu, tidak dapat apa-apa hasil kecuali hilang sikap waspada terhadap akibat-akibat buruk yang akan berlaku.

12) Menundukkan pandangan dapat membebaskan hati dari gila syahwat dan menghilangkan sifat lalai. Sebaliknya bagi mereka yang tidak mahu menundukkan pandangan akan membuatkan dia melupakan Allah dan kampung (alam) akhirat.

Sumber : Rakan Facebook ( Melihat Sinar-Nya )

::Hukum pemaikaian Gelang Berloceng di kaki dan tangan::


Pada asasnya pemakaian gelang hukumnya harus sahaja, selagi mana ianya bertujuan untuk kebaikan dan tidak mendatangkan maksiat dan fitnah. Kebaikan yg dimaksudkan ini perlu dilihat dari beberapa sudut, siapa, apa, dimana, bagaimana dan niat pemakaiannya. Misalnya, kaum lelaki tak boleh pakai gelang kerana menyerupai wanita, hanya wanita ada keharusan. Keharusan ini pula bergantung kepada tujuan dan niat, misalnya orang melayu jarang memakai gelang di kaki sebaliknya orang India terutamanya di India gemar memakainya gelang berloceng yang disebut 'silver kolusu' (gelang kaki yg berloceng) dan metti (gelang jari kaki yang berloceng) dan merupakan suatu kebudayaan serta keperluan dalam masyarakat tersebut.

Contohnya, wanita yang mula mengandung digalakkan memakai gelang loceng di kali agar diketahui gerak-gerinya oleh isi rumah seperti ibu mertua & suaminya. Hatta jika wanita ini tidur lama pada posisi suatu bahagian akan diketahui dari ketidakhadiran bunyi loceng kaki tadi dalam tidur dan akan ditegur agar dia mengalih ke badan ke bahagian posisi yang lain. Ini bertujuan utk menjaga kesihatan bayi dalam kandungan. Jika didapati agak lama tidak kedengaran bunyi menunjukkan wanita tersebut berada berjauhan atau mungkin sudah jatuh pengsan dimana-mana penjuru rumah atau bilik, dan mereka akan mula mencari untuk memastikannya terutama jika suaminya tidak bersama-sama.


Pemakaian gelang loceng diluar rumah adalah suatu larangan dalam syarak bagi kaum hawa yang beriman kepada Allah s.w.t. Malah sepotong ayat al-Qur'an sendiri merujuk khusus tentang gelang kaki yang mengeluarkan bunyi-bunyian bila dihentak. Firman Allah yang bermaksud;


"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." 
[Quran An-Nur, 24: 31]




Wanita-wanita di zaman Jahiliyah mempunyai amalan memakai gelang kaki berloceng dan bilamana mereka berjalan di lorang-lorang, mereka akan menghentakkan kaki mereka agar bunyi gelang ini didengar oleh kaum lelaki, dengan itu ia menarik perhatian dan pandangan lelaki jatuh terhadapnya. Ia sekaligus merupakan babak-babak untuk "menghampiri zina" yang dilarang oleh Allah dalam firmannya;


"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)" 
[Quran Surah Al-Israa',17: 32]



Seorang wanita muslimah yang berakhlak mulia dan beriman kepada Allah, tidak memakai gelang loceng bila keluar dari rumah atau bila berhadapan dengan lelaki ajnabi (yg halal kahwin), kerana bunyi-bunyian adalah halwa telinga yang memberi rangsangan shawat lelaki sebagaimana wangi-wangian menjadi halwa hidung bagi tujuan yang sama. Begitu juga mata dan anggota tubuh yang lain masing-masing berperanan besar dalam membangkitkan ghairah kaum adam.


Menurut Rasulullah saw;

“Sesungguhnya Allah telah menetapkan atas diri anak keturunan Adam bagiannya dari zina. Dia mengetahui yang demikian tanpa dimungkiri. Mata itu boleh berzina, dan zinanya adalah pandangan. Lidah itu boleh berzina dan zinanya adalah perkataan. Kaki itu boleh berzina dan zinanya adalah ayunan langkah. Tangan itu boleh berzina dan zinanya adalah sentuhan. Hati boleh berzina dengan keinginan dan angan-angan. Baik kemaluan membenarkan yang demikian itu atau mendustakannya.”
(H.R. Bukhari, Muslim, An-Nasai, dan Abu Dawud).


Dengan ini wanita muslimah yang beriman dilarang memperlihatkan 'perhiasan' bilamana keluar rumah, ini termasuklah perhiasan tubuh badan dan pemakaian pakaian yang menarik perhatian seperti pakaian yang tidak menutup aurat dengan sempurna, bertudung tapi baju dan seluar ketat, memakai wangi-wangian dll. Sebuah hadis lain menyebut mata boleh berzina bila seorang wanita memakai minyak wangi dan melalui khalayak ramai;


"Seorang wanita yang memakai minyak wangi lalu lewat(melalui) di tengah-tengah kaum (laki-laki) dengan maksud agar mereka menghidu bau harumnya maka wanita itu adalah pelacur" (HR. An-Nasaa'i).




Manakala bagi kaum lelaki, Nabi s.a.w. adalah sebagaimana menasihatinya kepada Ali r.a. “Wahai Ali, janganlah engkau susuli pandangan dengan pandangan lagi, kerana yang pertama menjadi bagianmu dan yang kedua bukan lagi menjadi bagianmu (dosa atasmu)” (H.R. Ahmad, Tirmidzi, dan Abu Dawud).



Maka dari sinilah timbul konsep menutup aurat yang sempurna bagi wanita termasuk pemakaian purdah/niqab dan sebagainya sebagaimana kesungguhan dan ketaatan mereka terhadap firman Allah dalam surah An-Nur ayat 31 di atas. Jadi dapatlah dibuat kesimpulan bahawa pemakaian perhiasan yang menarik perhatian lelaki termasuklah gelang berloceng adalah haram sekalipun kebanyakan kaum hawa mungkin suka dan gemar memakainya diluar rumah.


Nah, muslimah yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, bilamana mereka mengetahui akan larangan ini, adalah terlebih utama mereka bersegera menyahut panggilan iman dan segera kembali kepada al-Quran dan sunnah - dengan itu hiduplah nilai-nilai al-Quran dalam jiwa mereka sebagai bukti keimanan mereka terhadap al-Quran, insyaallah di akhirat nanti al-Quran akan menjadi pelindung seluruh anggota tubuh mereka dari bahang api neraka yang mana mereka menyerupai wanita-wanita pelacur lagi jahil yang mengaku beriman dimulut tetapi fasiq!

Sabtu, 2 Julai 2011

::Menguap::

Biasa disebut, bahawa Islam adalah agama yang lengkap lagi terperinci. Ini sememangnya satu kebenaran. Jika kita mengkaji Islam secara keseluruhan, akan kita temui bahawa Islam mencakupi pelbagai aspek kehidupan. Ia bukan agama ibadah sekadar sembahyang dan zikir, tetapi agama yang turut meliputi ekonomi, sosial, politik, peperangan dan sebagainya.
          Menyentuh tentang kehidupan, dua aspek yang turut dicakupi oleh Islam ialah adab ketika menguap dan bersin. Iyya! Dua perkara yang lazim berlaku kepada kita, tanpa disedari telah digariskan oleh Islam adab-adabnya. Dalam ruangan bulan ini, saya ingin berkongsi bersama para pembaca yang budiman sekalian adab ketika menguap dan bersin.
          Menguap dan bersin secara tidak langsung memiliki kaitan antara satu sama lain, iaitu berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan membenci menguap. Maka apabila (seseorang) bersin, hendaklah dia memuji Allah (dengan mengucapkan alhamdulillah) dan merupakan kewajipan bagi setiap muslim (yang mendengar saudaranya bersin) untuk mendoakannya. Ada pun menguap, maka ia tidak lain berasal dari syaitan. Tahanlah ia semampu mungkin dan apabila (seseorang menguap) berbunyi “Haaa” maka ketawalah syaitan.” [Shahih al-Bukhari, hadis no: 6223]
          Adab Menguap Berdasarkan hadis di atas, dapat kita ketahui bahawa menguap adalah sesuatu yang berasal dari syaitan. Jika hendak dibandingkan dengan bersin, menguap adalah sesuatu yang tidak disukai oleh Allah s.w.t.. Sebabnya, menguap adalah isyarat pemikiran yang lalai, tumpul lagi dibuai perasaan mengantuk. Padahal seorang muslim hendaklah sentiasa cergas, tajam lagi peka. Dia hanya mengantuk apabila tiba waktu kebiasaannya untuk tidur. Oleh kerana itulah, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani (852H) dalam kitabnya Fath al-Bari (jld. 10, ms. 628) mengemukakan sebuah riwayat dari para sahabat yang menerangkan bahawa mereka tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w. menguap sama sekali.
          Akan tetapi jika kita benar-benar terpaksa menguap, maka adab yang pertama ialah jangan mengeluarkan sebarang bunyi. Janganlah mengeluarkan bunyi “Haaa”, “Uhhh” atau sebagainya. Bunyi-bunyi seperti ini disukai oleh syaitan sehingga mereka ketawa kepada orang yang mengeluarkannya ketika menguap. Ketika menyusun kitab Shahihnya, Imam al-Bukhari (256H) meletakkan satu bab khas yang berjudul “Sifat iblis dan tenteranya”. Di bawah bab tersebut, beliau mengemukakan hadis yang menerangkan sifat iblis dan syaitan yang ketawa apabila mendengar orang yang menguap mengeluarkan bunyi “Haaa”. Hadis yang saya maksudkan ialah: “Menguap adalah dari syaitan. Maka apabila seseorang kalian menguap, tahanlah sedaya mungkin kerana sesungguhnya apabila seseorang kalian menguap sambil berbunyi “Haaa” maka ketawalah syaitan.” [Shahih al-Bukhari, hadis no: 3289]
          Adab kedua jika terpaksa menguap ialah menutup mulut dengan tangan. Jangan membiarkan mulut ternganga sehingga jelas ternampak “intan dan berlian” yang melekat di celah-celah gigi. Rasulullah s.a.w. mengajar kita: “Jika seseorang kalian menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka).” [Shahih Muslim, hadis no: 2995]
Adab Bersin
          Bersin adalah sesuatu yang disukai oleh Allah s.w.t. sebagaimana yang telah dijelaskan dalam hadis yang pertama di atas. Di antara sebab ia disukai adalah, bersin membersihkan rongga hidung dan tekak dari habuk, debunga, bakteria dan apa-apa lain yang mungkin memenuhi rongga tersebut. Bersin juga adalah satu cara untuk sistem badan menyesuaikan diri dengan perbezaan cuaca yang berlaku secara mendadak. Oleh kerana itulah seseorang itu lazim bersin jika dia bergerak dari tempat yang sejuk kepada panas atau panas kepada sejuk. Bahkan seseorang itu juga akan bersin semata-mata dengan melihat kepada keterikan sinaran matahari.
          Mengingatkan banyak kebaikan bersin, ditambahi dengan faktor bahawa ia adalah sesuatu yang disukai oleh Allah, seeorang itu dituntut untuk memuji Allah ketika bersin. Bacaan pujian tersebut ialah “Alhamdulillah ‘ala kulli hal” yang bermaksud “Segala puji bagi Allah dalam segala sesuatu”.
          Pernah seorang lelaki bersin ketika berada di tepi Abdullah bin ‘Umar al-Khattab. Lalu lelaki tersebut berdoa: “Alhamdulillah, wassalamu ‘ala Rasulullah (Segala puji bagi Allah dan salam ke atas Rasulullah).” Berkata Abdullah bin ‘Umar: “Alhamdulillah, wassalamu ‘ala Rasulullah? Bukan begitu yang diajarkan kepada kami oleh Rasulullah s.a.w., (sebaliknya) baginda mengajar kami berdoa: Alhamdulillah ‘ala kulli hal (Segala puji bagi Allah dalam segala sesuatu).” [Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2738].
          Seterusnya, apabila kita mendengar saudara kita yang bersin memuji Allah, hendaklah kita mendoakannya dengan berkata: “YarhamukalLah” yang bermaksud: “Semoga Allah merahmati kamu”. Kemudian bagi yang bersin, dia mendoakan kembali orang yang mendoakannya tadi dengan berkata: “YaghfirulLahu lana wa Lakum” yang bermaksud: “Semoga Allah mengampuni bagi kami dan bagi kalian”. [Shahih al-Jami’ al-Shagheir, hadis no: 686]
          Hikmah di sebalik semua ini ialah terjalinnya ikatan ukhuwah dan kasih sayang sesama umat Islam. Apabila kita mendoakan saudara kita yang bersin, dia akan merasa senang dengan kita. Seterusnya apabila dia mendoakan kita pula, kita pula akan merasa senang kepadanya. Hingga akhirnya terjalinlah ikatan ukhuwah dan kasih sayang semata-mata kerana bersin. Seandainya orang yang bersin tidak memuji Allah, kita tidak dituntut mendoakannya.
          Pernah dua orang bersin berdekatan Rasulullah s.a.w., lalu baginda mendoakan seorang dan membiarkan seorang yang lain. Orang yang dibiarkan itu bertanya, mengapa baginda tidak mendoakannya? Baginda menjawab: “Orang itu memuji Allah (setelah bersin) manakala kamu tidak memuji Allah (setelah bersin).” [Shahih al-Bukhari, hadis no: 6225]
          Adab terakhir ketika bersin ialah menutup mulut dan hidung dengan tangan atau kain. Pada waktu yang sama hendaklah merendahkan muka dan suara. Jangan bersin sehingga menghamburkan air liur, bersin ke arah muka orang lain atau bersin dengan suara yang kuat. Abu Hurairah menerangkan adab Rasulullah s.a.w. ketika bersin: “Apabila Rasulullah s.a.w. bersin, baginda meletakkan tangannya atau bajunya ke atas mukanya (mulut dan hidung) sambil merendahkan (atau sambil menundukkan muka dan) suaranya.” [Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 5029]
sumber:hafizfirdaus.com 

Selasa, 28 Jun 2011

::Tazkirah buat Isteri::

Dalam al-Quran, ada digambarkan empat jenis wanita yang bergelar isteri.

Pertama, jenis ideal isteri Musa. walaupun al-Quran tidak menyebut namanya, namun isteri Musa ini dikenali sebagai Safura anak perempuan Syuaib. Safura digambarkan seorang gadis murni. Dia tertarik dengan Musa. Cintanya kepada calon suami, tidak hanya demi kebahagiaan keluarga, iaitu membantu ayahnya. Al-Quran menggambarkan cinta mulia dan halus Safura melalui ayat 26 surah al-Qashash yang bermaksud:

Salah seorang dari kedua wanita itu berkata "Ya bapaku ambillah ia sebagai orang yang bekerja (pada kita), kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercayai"

Dan sesungguhnya perkahwinan yang ideal ialah perempuan yang mulia serta setia berpasangan dengan suami yang kuat lagi amanah. Inilah pasangan romantis sebenar.


Kedua
, jenis isteri Abu Lahab iaitu perempuan jahat berganding dengan suami terkutuk. Dalam surah al-Lahab ayat 3 dan 4 yang bermaksud:

"Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak. Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar"

Isteri Abu Lahab bernama Ummu Jamil tidak disebut dalam al-Quran. Abu Lahab memiliki akhlak buruk dan dikatakan pernah mencuri emas yang terdapat di Kaabah kerana tamak dan rakusnya.
Isterinya pula seorang penyombong dan memiliki perasaan hasad dengki yang kuat. Jadi, tugasnya ialah pembantu setia kejahatan suaminya.
Kalau Abu Lahab merupakan penentang utama terhadap nabi s.a.w, maka isterinya adalah pendorong utama yang turut aktif di dalam kegiatan jenayah suaminya.
Jadi jika suami diumpamakan terbakar dalam kejahatan nafsu, isteri pula pembawa kayu api - iaitu pengobar kejahatan suami. Maknanya isteri aktif dalam kegiatan jahat suami.


Ketiga, isteri baik dalam genggaman suami yang jahat. Watak ini menyebut isteri Firaun sebagai contohnya. Walaupun Firaun melalui al-Quran merupakan seorang Raja Besar yang dikutuk Allah, namun isterinya disanjung tinggi dalam al-Quran.
Isteri Firaun yang kononnya bernama Asiah ini juga tidak diberikan nama oleh al-Quran. Ia disebut sebagai "imraatu Firaun" atau perempuan Firaun sahaja.

Walaupun Asiah ditakdirkan berpasangan sebagai suami isteri dengan Firaun, namun tindakan akhlaknya sangat bertentangan dengan suaminya yang zalim itu.
Asiah menyelamatkan Musa, sebaliknya Firaun ingin menghapuskan Musa. Dia berkenan dan beriman dengan ajaran Islam yang dibawa Musa. Semua manusia dilingkungannya menyembah Firaun sebagai Tuhan, tetapi dia diam-diam menyembah Allah.


Keempat ialah watak perempuan Nuh dan Lut. Isteri dua orang nabi a.s ini dinyatakan Allah melalui al_Quran surah at-Tahriim ayat 10 yang bermaksud:

"Allah membuat isteri Nuh dan isteri Lut perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang salih di antara hamba-hamba Kami;lalu kedua isteri itu berkhianat kepada kedua suaminya, maka kedua suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun, dari (seksa) Allah; dan dikatakan (kepada keduanya);"masuklah ke neraka bersama orang-orang yang masuk (neraka)"

Isteri Lut kononnya bernama Wa'ilah, tetapi isteri Nuh tidak diketahui namanya. Namun kedua perempuan ini juga tidak disebut dalam al-Quran siapakah nama mereka.
Keduanya adalah isteri kepada dua lelaki pilihan Allah, namun mereka disifatkan oleh Allah sebagai pengkhianat dan menjadi ahli neraka.


Demikianlah gambaran watak isteri dalam al-Quran.
Jangan engkau kahwini wanita yang enam, jangan yang Ananah, yang Mananah, dan yang Hananah, dan jangan engkau kahwini yang Hadaqah, yang Baraqah dan yang Syadaqah.”

Wanita Ananah:banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat memperalatkan sakit atau buat-buat sakit.

Wanita Mananah:suka membangkit-bangkit terhadap suami. Wanita ini sering menyatakan, “Aku membuat itu keranamu”.

Wanita Hananah: menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.

Wanita Hadaqah: melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.

Wanita Baraqah: ada 2 makna, pertama yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya, kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagianya.

Wanita Syadaqah: banyak cakap tidak menentu lagi bising.

Dicatat oleh Imam Al-Ghazalli



Isnin, 27 Jun 2011

::Kita lupa lagi::

Kita lupa atau terlupa?
“Alamak lupa la hari ini kena hantar shukudai(homework) bussei!”
“Lupa la nak letak baju dekat ampaian tadi, abisla busuk baju aku balik nanti.”
“Mana aku letak   pensel ni,tadi baru rasanya aku pegang “
Asyik terlupa saja, tapi itulah hakikat yang kita harus terima sebagai manusia. Al-insan yang berasal dari kata akar nasiya bererti lupa. Jadi tidak dapat dinafikan lagi sifat lupa itu memang ada pada manusia yang secara fitrahnya memang lemah. Tidak ada manusia yang sempurna sifatnya kecuali Rasulullah S.A.W.  Daripada seremeh-remeh benda sampailah kepada benda yang paling penting dalam hidup manusia, kita tidak lari daripada melakukan kesilapan.
Kita lupa?
Dulu masa mula-mula Allah ciptakan kita, waktu tu kita masih di alam rahim, roh kita telah berjanji untuk menjadi hamba Allah yang taat. Eh, betul ke? Tak ingat pun.
“ Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan dari sulbi(tulang belakang) anak cucu Adam keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka (seraya berfirman), “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab, “Betul (Engkau Tuhan kami), kami bersaksi.” (Kami lakukan yang demikian) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan , “Sesungguhnya ketika itu kami lengah terhadap ini.[Al-A'raf 7:172]
Apabila kita sudah bersaksi  bahawa Allah adalah Tuhan kita, bermakna kita merupakan hambaNya. Sebagai seorang hamba kita perlulah patuh dan taat akan segala perintahNya  serta menjauhi segala laranganNya.
Kita lupa lagi?
Kemudian, kita dilahirkan ke muka bumi ini setelah dengan susah payahnya ibu kita mengandungkan kita selama 9 bulan 10 hari. Disebabkan kita ni memang pelupa, Allah telah mengingatkan kita dalam firmanNya:
“Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah. Masa mengandung sampai menyapihnya selama tiga puluh bulan,sehingga apabila dia(anak itu) telah dewasa dan umurnya mencapai umurnya empat puluh tahun, dia berdoa, “Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada orang tuaku, agar aku dapat berbuat kebajikan yang Engkau redhai dan berilah aku kebaikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucuku. Sungguh aku bertaubat kepada Engkau dan sungguh aku termasuk orang Muslim.”[Al-Ahqaf 46:15]
Subhanallah besarnya pengorbanan seorang ibu. Sebanyak mana pun kebaikan yang cuba kita lakukan tidak akan terbalas jasa seorang ibu. Setitik air susu ibu telah membesarkan kami untuk terus hidup di muka bumi ini. Terima kasih ibu.
Kita seringkali  terlupa
Hidup sebagai makhluk Allah yang paling sempurna ciptaannya  membuatkan kita leka, lalai, asyik dengan segala tipu daya yang sebenarnya akan hancur tidak lama lagi yang kita sendiri tidak ketahui masanya. Kita melakukan apa sahaja mengikut kehendak hati sehingga kita lupa betapa hinanya asal usul kita…
“Yang memperindah segala sesuatu yang Dia ciptakan dan yang memulai penciptaan manusia dari tanah, kemudian dia menjadikan keturunannya dari saripati air yang hina(air mani).”[As- sajadah 32:7-8]
Ya, itulah hakikatnya asal usul kita. Tidak ada yang perlu kita banggakan kerana kita hanyalah makhluk yang diciptakan dari setitis air mani yang cukup hina dan jijik
Cuba flashback balik, selama ini apa yang telah kita lakukan hingga kita terus-terusan berada di lembah kehinaan~
  • Di kala kesedihan menyelubungi diri, kepada siapa mengadu? Siapa lagi kalau bukan kekasih hati ? Kita rasa hanya dia yang mampu menghilangkan keresahan di hati ini.
  • Di saat kesakitan, kepada siapa kita minta penawar? Suara keluhan terus-terusan kedengaran.
  • Pada waktu kita diberi nikmat kegembiraan dengan siapa kita berkongsi kesenangan? Happy sungguh kita saat itu, rasa seolah-olah dunia ini kita yang punya.
  • Di kala kita kesunyian siapa orang pertama yang kita cari? Ke mana arah tuju kita saat itu.
  • Di waktu kelapangan, apakah benda yang paling kita suka lakukan? Masa berjam-jam sanggup dihabiskan untuk layan facebook? Bergayut dengan boyfriend?  Tengok movie?
Tanya diri kita, ke mana kita akan pergi selepas ini, jawapannya kita semua dah tahu. Kita ingin sangat menghuni syurga Allah, tapi begitukah sikap ahli syurga? Apa amalan kita sudah terlebih sehingga kita boleh lupakan apa yang  Allah peringatkan kepada kita. Jawapan kepada persoalan di atas:
“……….Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal…..” [Surah At-Taubah 9: 129]
Kalau betul ‘dia’ adalah kekasih hati kita, mampukah dia membaca segala isi hati kita, mampukah dia mengubati luka di hati ini. Kita silap jika jawapannya ya, kerana kalau betul kenapa kita perlu beritahunya apa yang terpendam di hati, kalau ya kenapa kita perlu luahkan apa yang ada di hati dan kalau betul kenapa kita perlu susah payah mengadu manja padanya yang pada hakikatnya tidak mengerti apa-apa pun. Kekasih hati kita hanyalah Allah kerana Dia lebih mengetahui isi hati kita.
“ Sungguh Allah mengetahui yang ghaib (tersembunyi) di langit dan di bumi. Sungguh Dia Maha Mengetahui segala isi hati. “[Surah Fatir 35:38]
Kita hanya tahu mengeluh dan mengaduh sahaja tanpa memikirkan hikmah di sebalik ujian sakit itu.  Kita seringkali mempersoalkan kenapa kita yang harus menanggung kesakitan, kenapa dan mengapa. Itulah yang sering kita luahkan membuatkan kita lupa untuk mencari penyelesaiannya.
” Dan kami turunkan al-Quran(sesuatu)  yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman, sedangkan bagi orang zalim (Al-Quran itu) hanya akan menambah kerugian .” [ Al-Isra' 17 : 82]
Sesiapa saja pasti gembira apabila dikurniakan nikmat kesenangan semasa hidup di dunia ini. Namun jangan kita lupa untuk bersyukur dan ingat lah setiap nikmat itu juga merupakan ujian.
“Kemudian kamu benar-benar akan ditanya pada hari itu tentang kenikmatan (kemegahan dunia) ” [At-Takasur 102:8]
Yang pasti setiap apa yang kita nikmati sekarang ini pasti akan diminta perhitungannya kelak dan Allah tidak lalai terhadap apa yang hambaNya kerjakan.
Rasa sunyi dan jiwa terasa kosong . Maka bermulalah misi syaitan untuk menyesatkan cucu Adam. Dibisikkan pada kita untuk melakukan kemungkaran. Tanpa kita sedari kita telah mengambil jalan yang mengundang kemurkaan Allah. Jangan, jangan sesekali kita lupa akan peringatan Allah.
Kelapangan yang  sering menjadi tanda tanya  terutama bila waktu lepas exam bagi student la. Tidak tahu apa nak buat lantas buat keputusan tengok drama secara marathon,huhu..Astaghfirullahal’azim, ruginya kita semua bila teringat akan firman Allah:
“Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. “[Al-'Asr 103:1-2]
Realiti hari ini telah membuktikan hikmah di sebalik Allah mengutus seorang Rasul untuk memberi peringatan kepada kita yang bernama insan.  Sinonim dengan sifat mudah lupa,kita perlu diberi peringatan untuk tidak terus berada di lembah kehinaan. Kitalah yang sering kali lupa dan menzalimi diri kita sendiri. Doa yang sering kita ucapkan dalam solat seolah-olah tidak memberi kesan langsung pada diri kita.
“Sesungguhnya  solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah.”
Itulah yang sering dilisankan oleh lidah kita, tetapi adakah kehidupan seharian kita benar-benar menggambarkan apa yang kita ucapkan. Tepuk dada tanya iman. Sama-samalah kita panjatkan doa, moga terampun segala dosa kita.Amin.
p/s: sebagai peringatan untuk diri sendiri yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.moga Allah menerima taubat kita dan permudahkan jalan menujuNya 

Rabu, 22 Jun 2011

::Kasih bapa::


Suatu ketika Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu dan beberapa orang sahabat melihat seorang perempuan mendukung seorang lelaki tua. Lalu beliau bertanya kepada perempuan itu, “apakah perihalnya kamu ini?” Perempuan itu menjawab, “yang aku dukung ini adalah ayahku. Dia sudah tua (nyanyuk) dan mahu bermain denganku” Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu teruja dengan kejadian itu lalu berkata, “wahai sahabat, lihatlah perempuan ini. Beliau telah menunaikan hak bapanya ke atas dirinya” Perempuan itu membalas, “tidak ya Amir al-Mu’minin. Aku belum menunaikan hak bapaku ke atas diriku. Semasa dia menjaga ku ketika aku kecil, dia mendoakan panjang umurku. Tetapi semasa aku menjaganya ketika dia tua. Aku tertanya-tanya bilakah orang tua ini akan mati!”
(di petik dari http://saifulislam.com/4108)

Sesungguhnya kamu jika berbakti kepada kedua ibu bapamu tidak akan dapat menandingi kehebatan kasih sayang mereka pada kamu. Kasih sayang yang mereka limpahan tidak mengharapkan apa-apa balasan. Sedangkan kamu berbakti kepada mereka dan mengharapkan balasan, samada ganjaran di dunia atau akhirat dan tidak kurang juga yang menanti-nanti kematian mereka.

*
Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Siapa yang suka untuk dipanjangkan umur dan ditambahkan rezeki, maka berbaktilah kepada ibu bapa dan sambunglah tali silaturrahim dengan kerabat.” (HR Imam Ahmad)

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Kehinaan bagi sesiapa yang memiliki kedua ibu-bapanya yang tua salah seorang atau kedua-duanya, dan tidak dapat memasuki syurga.” (HR Muslim)

“Dan rendahkanlah dirimu terhadap ibu dan bapa kamu dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka telah mengasihi aku pada waktu aku kecil” (al-Isra’ ayat 24)

Sumber : lenggangkangkung-my.blogspot

 

Ahad, 19 Jun 2011

::Kerana bulu mata, masuk Syurga::




Diceritakan di hari pembalasan kelak, ada seorang hamba Allah sedang diadili. Dia dituduh bersalah kerana mensia-siakan hidupnya di dunia utk berbuat maksiat. Namun begitu dia berkeras membantah,


“Tidak demi langit dan bumi,sungguh tidak benar. saya tak pernah malakukan perkara itu…”


“Tetapi saksi-saksi mengatakan engkau betul telah menjerumuskan dirimu sendiri ke dalam dosa”


Orang itu menoleh ke kiri dan ke kanan, lalu merenung segenap penjuru ruang yang ada. Kemudian dia pun menyanggah, “mana saksi-saksi yang engkau maksudkan? disini tiada sesiapa melainkan aku dan suaramu sahaja.”


Jawab malaikat, “Inilah saksi-saksimu…”


Tiba-tiba mata berbicara,“Saya yang memandang,”


disusuli dengan telinga,“Saya yang mendengar perkara itu”


Hidung pun tidak ketinggalan,“Saya yang mencium”


Bibir pun mengaku dengan slumbernye,“Saya yang merayu”


Lidah menambah dengan berani,“Saya yang menjilat dan menghisap”


Tangan tanpa malu meneruskan,“Saya yang meraba dan meramas”


Kaki pula menyusul,“Saya yang berjalan dan berlari semasa itu”


“Nah kalau dibiarkan kesemua anggota tubuhmu akan memberikan kesaksian tentang perbuatan aibmu,” ujar malaikat. Orang tersebut tidak dapat membuka sanggahnya lagi. Ia berputus asa dan amat berduka kerana sebentar lagi ia akan dihumban ke dalam neraka jahannam.. Padahal ia amat berharap agar segala perbuatan jahatnya dapat diselindungi. Tatkala dia sedang dilanda kesedihan, tiba-tiba terdengar satu suara yg amat lembut dari sehelai bulu mata berbunyi, ” Saya pun ingin mengangkat sumpah untuk menjadi saksi dalam perkara ini.”


Malaikat menjawab dengan tenang,“Silakan wahai bulu mata”


“Terus terang sahaja, menjelang ajalnya pada satu malam yang hening, aku pernah dibasahi dengan juraian air mata penyesalan mengenangkan segala perbuatan keji yang telah dilakukan. Bukankah rasulnya telah berjanji, apabila ada seorang hamba yang ingin bertaubat, walaupun sehelai bulu mata sahaja yg dibasahi dengan air mata, demikian itu diharamkan dirinya dari ancaman api neraka? Maka, saya sehelai bulu mata, berani tampil sebagai saksi bahawa dia telah bertaubat sampai membasahi saya dengan air mata penyesalan.”


Dengan kesaksian bulu mata itu, orang tersebut dibebaskan dari neraka dan segera dihantar ke syurga:


“Lihatlah hamba Allah ini masuk syurga kerana pertolongan bulu mata.., maka perbanyakkanlah kita dengan bertaubat dan tangisilah dosa-dosa yang telah kita lakukan dengan air......janganlah kita berputus asa dengan Rahmat Allah....sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...