Memaparkan catatan dengan label syawal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label syawal. Papar semua catatan

Ahad, 28 Ogos 2011

Program Hiburan di media Eloktronik cacatkan Ibadah Aidilfitri

AIDILFITRI datang dan pergi sebagai kurnia dan anugerah Allah kepada hamba-Nya untuk meraikan kemenangan dalam menghadapi dugaan selepas menunaikan ibadah sepanjang Ramadan. Saban tahun umat Islam bergembira merayakan Aidilfitri dengan mengamalkan tradisi balik kampung untuk menemui ayah bonda serta sanak-saudara. Tidak kurang juga ada yang mengunjung rumah jiran berdekatan untuk mengeratkan silaturahim dan jalinan persaudaraan sesama mereka.

Namun dalam kemeriahan kita menyambut hari lebaran, kita sering kali dibudayakan dengan cara sambutan yang tidak wajar dan dilihat bertentangan dengan amalan sebenar dalam menyambut kedatangan 1 Syawal. Setiap tahun apabila menjelangnya Aidilfitri, pelbagai program dan pengisian yang berbentuk hiburan melampau disajikan televisyen. Ia seolah-seolah tidak ubah seperti persaingan antara syarikat media untuk mendapat tempat di hati masyarakat Islam dan bukan lagi dianggap sebagai amanah dan tanggungjawab untuk mendidik masyarakat. Akibatnya, pelbagai bentuk rancangan yang tidak wajar dipertontonkan menerusi televisyen bagi mengisi kekosongan Aidilfitri. Lantaran itu, hari mulia 1 Syawal dicemari dengan pelbagai bentuk hiburan melampau yang bertentangan dengan norma serta nilai hidup bangsa dan agama kita.

Ia secara tidak langsung mengubah persepsi generasi muda yang tersalah faham dengan meletakkan televisyen sebagai teras utama dalam menyambut Aidilfitri. Sebagai contoh kebanyakan daripada kita terlalu leka dengan sajian hiburan yang melampau sedangkan tanggungjawab sebenar dalam melakukan perkara yang dituntut seperti berziarah, bertegur sapa, bermaaf-maafan dan sebagainya diabaikan. Tidak kurang ada yang sanggup menghabiskan sepanjang hari dengan pergi ke panggung wayang menonton sehingga melupakan amalan menziarahi. Maka, dengan sajian sedemikian, akan menyebabkan terhakisnya nilai kemuliaan Aidilfitri.

Amalan ziarah untuk saling mengenali antara satu sama lain gagal dicapai disebabkan masing-masing sibuk menonton rancangan televisyen yang menarik. Tujuan tetamu yang pada mulanya hadir untuk beramah mesra dan merapatkan hubungan yang terjalin dengan tuan rumah berubah sebaik saja rancangan menarik tersaji di rumah tuan rumah. Maka, masing-masing mengalihkan perhatian dengan hanya memberikan tumpuan kepada apa yang disajikan televisyen.

Sedangkan menghormati dan memuliakan tetamu adalah suatu perkara yang dituntut dalam Islam. Nabi pernah bersabda: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka muliakanlah tetamunya”. Di samping itu, nilai komunikasi sesama kita dalam bentuk beramah mesra, bertegur-sapa, saling bermaafan juga dibataskan.

Aidilfitri sebenarnya perlu diisi dengan laungan takbir dengan memuji kebesaran Allah dan tasbih sebagai tanda meraikan kemenangan kita dalam menyempurnakan ibadat Ramadan. Dalam satu hadis Rasulullah bersabda : “Hiasilah hari raya kamu dengan takbir, tahlil, tahmid, dan taqdis”. Pada masa sama, Aidilfitri juga menitikberatkan dua perkara asas iaitu pertalian ukhuwah sesama Muslim dan juga tazkiyatun nafsi atau pembersihan jiwa yang dibina menerusi madrasah Ramadan selama sebulan.
Maka, di sini jelas, sekiranya Aidilfitri itu sendiri diisi dengan pelbagai bentuk kemungkaran, kemaksiatan, dan hiburan yang melampau, ia sememangnya bercanggah dengan tujuan dan cara sebenar dalam meraikannya.

Dalam pada itu, nilai spiritual atau kerohanian yang dibina melalui kejayaan Ramadan juga terhakis. Madrasah Ramadan yang dianjurkan agama khusus untuk melahirkan insan yang bertakwa sukar direalisasikan ekoran pelbagai program hiburan yang bertentangan dengan adat dan agama direncanakan menerusi televisyen.

Meskipun begitu, saya secara peribadi ingin menyatakan sekalung pujian dan tahniah kepada pihak media terutama media elektronik dan media cetak tempatan yang dilihat banyak melakukan perubahan ke arah yang lebih baik untuk mendidik masyarakat terutama pada Ramadan lalu. Akan tetapi, sebaik saja berakhirnya Ramadan, pelbagai sajian yang tidak enak disajikan sehingga menyebabkan umat Islam menjadi lalai dan leka.

Masing-masing hanya mengutamakan semangat hedonisme dalam merayakan Aidilfitri dan tidak lagi mengutamakan semangat untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan selepas tamat Ramadan. Sedangkan Aidilfitri adalah salah satu medan bagi umat Islam untuk membuat perubahan dan penilaian diri dari semasa ke semasa.
Ana juga amat bersetuju dengan pandangan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria yang pernah menyatakan bahawa sekiranya Aidilfitri disambut dengan metod dan pengisian hiburan yang keterlaluan, hukumnya adalah haram. Apabila jatuhnya hukum haram, maka sambutan Aidilfitri tidak lagi dianggap sebagai ibadah tetapi hanya adat tradisi yang bercanggah dengan agama.

wallahu'alam..

sumber : diari islamiyyah

Puasa sunat syawal

Menumbuhkan kekuatan jiwa manusia dalam mengawal nafsu syahwat


SETELAH berpuasa selama sebulan pada Ramadan dan merayakan Aidilfitri, umat Islam sangat digalakkan berpuasa sunat Syawal selama enam hari bagi mengimbangi kesihatan yang telah menikmati pelbagai makanan ketika hari raya. Puasa enam hari pada Syawal juga dapat melatih kembali hati dan diri daripada godaan nafsu.

Puasa sunat Syawal boleh dilakukan enam hari pada bulan Syawal, berturut-turut atau terpisah asalkan tidak sampai melewati bulan berkenaan. Pada hari raya pertama dilarang berpuasa.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa berpuasa Ramadhan (penuh) lalu diikuti dengan berpuasa enam hari pada Syawal maka dia seperti berpuasa seumur hidup.”
(Riwayat Muslim)

Sementara dalam satu hadis yang lain Nabi SAW yang bermaksud:

“Berpuasa sebulan (pada Ramadan itu disamakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun.”
(Riwayat ad-Darimi)

Puasa sunat Syawal ini adalah untuk menampung kekurangan yang ada ketika puasa Ramadan kita. Misalnya, kebanyakan daripada kita hanya berpuasa secara menahan lapar dan dahaga saja. Sedangkan, perkara lain harus diberi perhatian seperti puasa telinga, lidah dan sebagainya. Maka puasa sunat Syawal adalah untuk menampung kekurangan yang terdapat dalam puasa fardu.

Umat Islam hendaklah banyak melakukan amalan sunat seperti banyak bersembahyang sunat, membaca al-Quran, bersedekah dan berpuasa sunat untuk menguatkan iman kita. Selain itu, kita dapat mengemaskan amalan wajib, kita juga dianjurkan memperbanyak amalan sunat.
Ini disebabkan amalan sunat menyempurnakan amalan wajib kita. Meninggikan pangkat dan darjat kita di syurga serta dapat meningkatkan ketakwaan kepada-Nya. Dalam melaksanakan amalan sunat ini, perlu kita ingat, jangan sampai melalaikan perkara yang wajib.

Sebagai contoh kita hendak mengejar tahajud malam sehingga terlewat dan tertinggal sembahyang Subuh atau tidak berpuasa Ramadan tetapi menunaikan puasa sunat Syawal. Selain itu, banyak melakukan sedekah dan ibadah sunat tetapi tidak bersilaturahim sesama manusia kerana bersilaturahim itu hukumnya wajib dan perlu dilaksanakan dulu.

Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin, menjelaskan mengenai tatacara berpuasa iaitu jika kamu berpuasa, janganlah kamu menyangka bahawa berpuasa itu cuma meninggalkan makan, minum dan bersetubuh. Bahkan juga menahan mata daripada memandang sesuatu yang dibenci oleh Allah, menahan lisan daripada mengucapkan kata-kata yang tidak bermanfaat, menahan telinga daripada mendengar sesuatu yang diharamkan oleh Allah, kerana sesungguhnya pendengaran itu menemani orang yang berbicara.

Selain itu menurutnya lagi, masing-masing daripada keduanya adalah pengumpat. Begitu juga kamu mencegah seluruh anggota tubuh seperti mencegah perut dan kemaluan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa tidak dapat meninggalkan ucapan dan perbuatan dusta (waktu berpuasa) maka Allah tidak menghendaki puasanya, hanya lapar
dan dahaga saja.”
(Riwayat Al Bukhari).

Ibadah puasa mengandung beberapa manfaat yang besar, antaranya adalah menguatkan kemahuan dan menumbuhkan kekuatan dan kedapatan jiwa manusia dalam mengawal nafsu syahwatnya.

Puasa juga perisai kepada kekuatan rohani. Pelbagai penyakit rohani dapat dihalang dengan berpuasa. Antaranya ialah hasad dengki, sombong, riak, memfitnah, mengumpat, melakukan perbuatan zalim, berdusta, marah, mencaci-maki, mungkir janji, bercakap bohong dan menipu.

Dengan berpuasa termasuk puasa sunat dapat merawat pelbagai penyakit rohani seperti mengingati Allah SWT, mengerjakan solat, bertaubat, takut kepada Allah SWT, mujahadah, musahabah diri, sabar, qana'ah, warak, zuhud, tawaduk, istiqamah, takwa dan menjauhkan makanan dan minuman haram.

Wallahua'lam..

Jumaat, 26 Ogos 2011

Ibadah bertunjangkan syariat Islam

AIDILFITRI hari umat Islam menikmati rahmat kegembiraan dan kebahagiaan lantaran banyaknya anugerah Allah dikecapi sepanjang Ramadan kepada semua hamba-Nya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Bagi orang yang berpuasa itu akan dikurniakan dua kegembiraan, kegembiraan ketika Aidilfitri dan kegembiraan ketika bertemu Allah SWT.”

Tidak dapat dinafikan kanak-kanak adalah golongan paling seronok apabila menjelang Aidilfitri saban tahun. Bagi kanak-kanak yang berlatih berpuasa pada Ramadan, hari raya adalah kemuncak kesyukuran kerana berjaya menyempurnakan ibadah menjadi salah satu tunjang Rukun Islam.

Ditambah lagi, budaya menyambut hari raya di Malaysia cukup meriah, menyemarakkan lagi perasaan gembira di hati kanak-kanak. Pada hari itu mereka akan berpeluang memakai baju serba baru, makan pelbagai juadah istimewa, mengutip angpau berisi dan menonton rancangan hari raya.

Tidak ada salah dan silapnya untuk kanak-kanak merasai keseronokan sebegini sepanjang sambutan hari raya. Namun, mereka perlu dibimbing dan difahamkan konsep ‘wasadtiah’ atau bersederhana menyambut Aidilfitri mengikut lunas Islam.

Selama sebelas bulan manusia bergelumang dengan tuntutan keduniaan dan kehendak nafsu, selama itu jugalah fitrah asal manusia sudah tercemar. Maka, dengan izin Allah, manusia dikurniakan ruang terbaik pada Ramadan untuk berpuasa dan melaksanakan amalan menguatkan serta menyucikan semula fitrahnya.

Dari perspektif Islam, sambutan Aidilfitri bermaksud hari yang disambut sebagai tanda kejayaan dalam mengembalikan fitrah seseorang hamba Allah kepada keadaan asalnya yang suci dan bersih.

Mendidik kanak-kanak menyambut kejayaan mengembalikan fitrah yang suci pada hari raya tidak sepatutnya disulam dengan unsur negatif. Contohnya, boros berbelanja pakaian, terlalu leka menonton hiburan di televisyen, makan terlalu banyak dan membazir, lalai melaksanakan solat dan bermain mercun.

Kanak-kanak perlu diasuh meneruskan kesinambungan amal ibadah yang bersifat khusus atau umum dilaksanakan sepanjang Ramadan pada bulan berikutnya. Ibadat khusus seperti berpuasa boleh diteruskan dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal serta puasa sunat Isnin dan Khamis.

Begitu amalan qiamullail yang diakui kelebihan dan faedahnya daripada pandangan Islam dan perspektif sains. Bertandang ke masjid atau surau untuk solat berjemaah perlu digalakkan. Ajarkan kanak-kanak memperbanyakkan membaca al-Quran, memahami maksudnya, berzikir dan berdoa.

Amalan khusus seperti ini berupaya membentuk jiwa kanak-kanak yang ikhlas untuk beribadah, sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah dengan izin-Nya.

Ibadah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) yang sukar untuk ditemui pada bulan lain seperti solat sunat Aidilfitri dan bertakbir juga perlu diterapkan sebagai ‘istimewa’ buat anak-anak kerana kedua-dua ibadah sunat ini menjadi simbolik sifat kesyukuran dan kekuatan umat Islam melaksanakan ibadah wajib berpuasa sepanjang Ramadan.

Pentingnya galakan menunaikan solat sunat hari raya dinyatakan Imam Al-Bukhari dalam riwayat hadis Ummu `Athiyah, beliau berkata: “Kami sekalian diperintahkan keluar pada solat sunat dua hari raya sehingga wanita yang haid pun keluar, kemudian menempatkan diri di belakang kaum muslimin, mereka turut bertakbir mengiringi takbir kaum muslimin.”

Begitu juga tuntutan bertakbir dan bertahmid mengagungkan kebesaran Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (hari terakhir Ramadan 30 hari) dan kamu mengagungkan Allah (bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu supaya kamu menjadi orang yang bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Amalan mulia lain seperti menziarahi pusara sanak saudara dan menghadiahkan mereka bacaan ayat suci al-Quran, menyertai perkumpulan marhaban, menghadiri majlis ilmu, berjimat cermat berbelanja, bersedekah, bantu-membantu orang yang tidak berkemampuan, hormat kepada orang tua, adalah ibadah umum yang perlu disuburkan dalam diri kanak-kanak.

Tujuannya supaya mereka faham konsep ‘amal makruf, nahi mungkar’ iaitu memperbanyakkan amalan mulia dan meninggalkan perbuatan dilarang.

Teguhnya peribadi mulia kanak-kanak yang dibentuk sepanjang Ramadan tidak akan bermakna jika ibu bapa atau penjaga tidak menunjukkan contoh yang baik sebagai ikutan mereka meraikan Aidilfitri.

Bersederhana dan wujudkan suatu anjakan paradigma untuk beramal ibadah bertunjangkan syariat Islam semasa menyambut hari lebaran ini.


Didikan tepat akan mengubah tanggapan anak-anak yang selama ini menyatukan makna Aidilfitri dengan duit raya, mercun dan bunga api semata-mata kepada terbitnya kemanisan iman serta rasa tawaduk dan syukur ke hadrat Ilahi.

wallahu a'lam..

sumber: diari Islamiyyah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...